|
|
IKA memperkatakan mengenai revolusi komputer terutama dari segi reka bentuk, nama Apple Inc. tidak mungkin dapat dipisahkan. Sebut sahaja produk-produk seperti Machintosh, iMac, MacBook (dulu iBook), iPod dan iPhone, semuanya didatangkan dengan pakej yang menarik perhatian ramai.
Bagaimanapun, lain pula ceritanya dengan iPad yang dilancarkan akhir bulan lepas. Produk itu sememangnya menjadi perhatian umum tetapi bukan hanya kerana kehebatannya tetapi juga dikritik kerana didakwa mempunyai beberapa kelemahan.
Walaupun kekurangan itu mungkin tidak terlalu besar tetapi ia tetap hangat diperkatakan peminat gajet di seluruh dunia.
Ipad diperkenalkan Apple sebagai komputer tablet bersaiz tapak tangan dengan skrin 9.7 inci (pepenjuru) dan akan dipasarkan dengan harga permulaan AS$499 (RM1,696) untuk pakej asas.
Produk ini sememangnya kelihatan agak seksi, menarik dan mampat tetapi sejak dilancarkan, sambutan terhadap produk ini tidaklah sehebat mana seperti yang pernah diterima Apple ketika memperkenalkan iPhone dan produk-produk sebelumnya.
Malahan menurut satu kajian, tahap keinginan untuk memiliki iPad telah menurun sebaik sahaja ia dilancarkan, berbanding ketika digembar-gemburkan sebelum ini.
Kajian yang dijalankan Retrevo, sebuah kedai elektronik di Internet, mendapati tahap mereka yang tidak ingin membeli produk itu telah meningkat kepada 50 peratus berbanding 25 peratus sebelum ia dilancarkan.Ada juga yang berpendapat bahawa iPad tidak lebih daripada iPod touch yang bersaiz lebih besar.
Malahan Ketua pegawai eksekutif Apple Inc., Steve Jobs sendiri ketika melancarkan produk itu menyatakan pengguna mungkin juga meletakkan produk ini di antara dua kategori iaitu tidak ‘semudah alih’ seperti iPhone atau tidak selasak untuk menjadi pengganti komputer buku.
Bagaimanapun menurut Jobs, iPad boleh memainkan peranannya sebagai netbook yang mampu berfungsi seperti iPhone kerana pengguna kini tidak lagi perlu membawa sebuah netbook dan juga telefon bimbit untuk membolehkannya mengakses Internet melalui rangkaian 3G.
Apple juga menyatakan produk ini mampu menjadi alat terbaik untuk membaca buku elektronik atau e-buku, satu aplikasi yang masih belum dapat diterima masyarakat.
Dari segi kekurangan lain pula, iPad juga dikatakan tidak mampu melakukan ‘multitasking’ yang mana anda harus membuka sesuatu aplikasi sahaja pada satu-satu masa.
Tanpa kamera terbina dalam, sudah tentu ia akan mengecewakan para peminat yang seakan mewajibkan ciri tersebut dalam setiap gajet terbaru mereka.
iPad atau iPhone?
Untuk memperkatakan mengenai iPad tanpa menyentuh mengenai iPhone, ia suatu yang sukar kerana kedua-duanya mempunyai beberapa persamaan terutama dari segi penggunaan aplikasi.
Melayari Internet, e-mel, foto, peta interaktif, menonton video dan sebagainya merupakan aplikasi utama yang akan menjadi daya penarik untuk pengguna memilih salah satu daripada gajet itu.
Memandangkan iPad bersaiz lebih besar, sudah tentu kelebihan akan memihak kepadanya jika anda hendakkan sedikit kepuasan dalam melayari Internet, melihat gambar atau menonton video berbanding melakukannya di iPhone.
Bagaimanapun, disebabkan saiznya yang kecil juga, iPhone boleh menjadi pilihan kepada mereka yang inginkan produk yang mudah dibawa dengan hanya memasukkannya ke dalam poket.Bagaimanapun, iPad sememangnya mampu menggantikan komputer buku yang lebih besar dan berat.
Selain daripada bertanding dengan produk sendiri seperti iPhone atau iPod, iPad yang akan memasuki pasaran dalam masa sebulan lagi juga akan mendapat tentangan sengit daripada produk-produk lain yang menggunakan sistem operasi (OS) Android dari Google atau Windows 7 mobile dari Microsoft.
Bagaimanapun, kekurangan yang terdapat dalam Ipad tidak seharusnya mengulangi kegagalan yang pernah ditempuhi Apple ketika memperkenalkan alat pembantu peribadi (PDA) Newton dan juga Apple TV suatu ketika dahulu.
No comments:
Post a Comment