Bismillahirrahmanirrahim…
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Alhamdulillah, pertama dan selamanya sama-sama kita mengucapkan syukur ke hadrat Allah S.W.T. atas nikmat-nikmat yang diberikan kepada kita selama kita berada di muka bumi-Nya. Betapa agung Allah yang maha penyayang menjadikan kita sebahagian daripada limpahan kasih sayangnya. Kita dilahirkan menjadi seorang Islam. Ini adalah bukti kasih sayang Allah kepada kita hambaNya.
Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad S.A.W. Melalui dakwah dan perjuangan Baginda, umat manusia di dunia ini mengenal kebenaran. Melalui dakwahnya, kita dapat memahami hakikat kehidupan kita dan hakikat mengapa kita dilahirkan di muka bumi Allah S.W.T. ini. Semoga Allah memberi keampunan kepada kita, memberi kemudahan dan kekuatan supaya dapat mencontohi Sunnah yang ditinggalkan Rasullulah kepada kita.
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah, ramadhan semakin hampir melabuhkan tirainya. Sesungguhnya, Tarbiah Ramadan melatih kita menjadi insan cemerlang. Insan yang bersedia untuk membawa arus perubahan – ar-ruhul jadid - "yang gigih berdakwah, bertarbiah dan mentarbiah”. Walaupun Ramadan hampir meninggalkan kita, marilah kita sama-sama pastikan semangat yang sama-sama kita kumpul sepanjang Ramadhan ini tidak hilang, sebaliknya akan terus bercahaya dan menyemarakkan semangat beribadah dan bermujahadah.
Sahabat-sahabat sekalian, di penghujung Ramadhan ini saya ingin mengambil kesempatan waktu yang dikurniakan Allah ini untuk mengucapkan selamat menyambut kedatangan 1 syawal kepada semua sahabat-sahabat. Insya-Allah sama-sama kita menyambut awal syawal dengan seruan takbir dan tahmid sebagai tanda kesyukuran dan kemenangan kerana telah berjaya menempuh ujian-ujian sepanjang Ramadhan. Manfaatkan masa kita yang ada dengan baik. Gunalah masa dan ruang yang Allah kurniakan untuk berukhwah bersama keluarga dan sahabat-sahabat, terutama ibu dan ayah, gunalah kesempatan yang ada untuk mencurah bakti kepada mereka.
Dikesempatan ini juga saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang membantu dan menyokong aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh Persatuan IMAM sepanjang Ramadhan kali ini. Insya-Allah sama-sama kita teruskan perjuangan kita untuk mewujudkan suasana yang tenang di dalam kampus UiTM Perlis. Semoga apabila kita kembali semula ke kampus selepas cuti mid semester nanti kita dapat lagi bersama-sama mengimarahkan Masjid An-Nur UiTM Perlis yang tercinta.
Akhir kalam, semoga kita sentiasa berada di bawah perlindungan Allah S.W.T. agar kita dapat sama mencapai keredhaan Allah S.W.T. “Wahai jiwa-jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu, dan masuklah ke dalam syurgaKu.” Al-Fajr ayat 27-30. Salam Ei'dul Fitri. Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment