.: PENGENALAN:.

Ikatan Mahasiswa Madani atau lebih dikenali sebagai IMAM dikalangan masyarakat kampus merupakan satu-satunya organisasi yang berdaftar dibawah unit agama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) di UiTM Perlis. IMAM bergiat aktif dalam memberi kefahaman dan penghayatan kepada mahasiswa dan juga masyarakat kampus. Keikhlasan setiap mahasiswa/siswi yang menyertai IMAM merupakan asset utama persatuan ini dalam usaha mewujudkan sebuah masyarakat berilmu dan beramal berlandaskan syariat.

Saturday, June 26, 2010

Suasana ceria kemasukkan pelajar baru Julai 2010

Kenderaan bergerak perlahan menuju ke tempat pendaftaran,kira-kira 4,000 ribu pelajar baru yang datang mendaftarkan diri pada sesi kali ini.


Selamat menempuh alam baru dalam mencari ilmu.


Berhampiran selekoh Kolej Resak,jalan agak sesak dengan deretan kenderaan yang masuk untuk ke perkarangan kolej.


Ibu ayah bersama keluarga dan sanak-saudara mengambil peluang menghantar anak-anak untuk sesi pendaftaran.


Sebilangan OC yang sempat memberi senyuman terbaik pada krew IMAM


Padang bola berhampiran Kolej Pulai (kini Kompleks Cengal) terpaksa di buka untuk meletakkan kenderaan.


OC juga berperanan memberi khidmat yang terbaik pada sesi pengambilan kali ini,bersama dengan pengawal keselamatan bagi memastikan kelancaran lalu-lintas.


Walaupun kenderaan terlalu banyak memasuki kampus pada pagi ini,namun dengan kecekapan pengawal keselamatan keadaan dapat di kawal dengan baik.


Ini lah suasana di pagi ini dengan anak-anak kecil berlari riang


Kerjasama semua pihak amat bermakna dalam suasana genting seperti ini.


Barangan asas seperti bantal,baldi dan lain-lain juga di jual berhampiran kolej.


Suasana di hadapan Masjid An-Nur

Friday, June 25, 2010

Fatwa Syeikh 'Athiyyah Shaqr - Solat 2 & 3


Soalan 2 : Adakah boleh seseorang itu solat nawafil (sunat) di rumah kemudian menuju ke masjid untuk menunaikan solat fardhu berjamaah?
Jawapan Syeikh ‘Athiyyah Shaqr : Ya , harus ia melakukan yang demikian itu. Sesungguhnya telah datang galakan dari Rasulullah SAW dalam masalah menunaikan solat nawafil (sunat) di rumah kerana menunaikan solat sunat di rumah adalah cahaya yang akan menerangi rumah kita dan tidak sepatutnya kita tidak menyirami rumah kita dengan cahaya solat.


Imam Muslim meriwayatkan bahawa sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda : “Jika seseorang kamu menunaikan solat di masjidnya maka hendaklah dia memastikan ada bahagian solat yang dijadikan di rumahnya (solat sunat) kerana bahawa sesungguhnya Allah SWT mengurniakan kebaikan untuk rumahnya dari solat yang dilakukan di rumahnya itu”.


Berkata Imam An Nawawi ; “Sesungguhnya telah digalakkan dalam menunaikan solat sunat di rumah adalah kerana ia lebih tersembunyi (dari pandangan manusia) dan lebih jauh dari riya’ dan lebih terjaga daripada perkara-perkara yang merosakkan amalan serta untuk memberkati rumah (dengan amalan solat sunat tadi) , dan menjadi sebab kepada tercurahnya rahmat dan dinaungi malaikat serta menjauhkan syaitan dari rumah itu”.


Soalan 3 : Jika seseorang terlewat dari menunaikan solat maghrib dan dia pergi ke masjid lalu mendapati solat Isyak telah didirikan, solat yang manakah yang harus ditunaikannya dahulu?


Jawapan Syeikh ‘Athiyyah Shaqr : Dalam kes seperti ini ia harus menunaikan solat Maghrib yang tertinggal tadi. Jika ia telah selesai menunaikan solat maghrib lalu ia dapati jamaah Isyak masih belum selesai maka itu merupakan kelebihan dan nikmat baginya untuk bersama dengan jamaah solat Isyak. Jika tidak sempat bersama jamaah isyak maka ia boleh solat berseorangan di belakang ataupun solat dengan jamaah yang lain pula.


Berkata jumhur para fuqaha’ , jika ia menunaikan solat Isyak sebelum solat maghrib yang ketinggalan disebabkan terlewat tadi maka batallah solatnya itu. Namun Imam Asy Syafie telah menghukumkan dengan sah solat orang yang mendahulukan Isyak dari Maghrib yang tertinggal tadi.


Jika Ia solat maghrib berjamaah bersama imam yang solat Isyak maka batallah solatnya di sisi jumhur kerana kewajipan kebersamaan antara doa solat (imam dan makmum). Namun tidak batal di sisi mazhab Imam Asy Syafie.


Dan wajib atasnya menunaikan solat maghrib dengan niat qadha’ (kerana terlewat dan masuk waktu solat yang lain).

Tuesday, June 22, 2010

Ada Apa Dengan Solat Berjemaah?

Orang muda selalu bercakap mengenai cinta. Ada apa dengan cinta? Cinta digambarkan sebagai perasaan yang membangkitkan semangat, lantaran bersatunya dua jiwa. Adapun kita bukan nak berbicara panjang tentang cinta orang muda. Namun, masih lagi berkait tentang cinta. Cinta yang lahir akibat mengikut petunjuk nabawi. Kemanisan yang dapat dikecapi dengan melazimi solat berjemaah.


Lazimnya, apabila solat jemaah dilakukan, bahu si kaya dan si miskin bersentuhan, lutut anak muda bergesel dengan lutut si tua, tapak kaki orang besar bertemu rakyat biasa, justeru membangkitkan ikatan cinta persaudaraan yang penuh rahmah dan berpanjangan. Sememangnya telah didoakan oleh para malaikat atas orang yang berniat melakukan solat berjemaah dengan rahmah dari Allah. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. katanya,

''Rasulullah s.a.w. bersabda: Solat seorang lelaki dalam jamaah itu dilipat gandakan pahalanya melebihi solatnya di rumah secara bersendirian-munfarid-atau di pasarnya dengan dua puluh lima kali ganda'' (Muttafaqun 'Alaih).






Bila mana kita tinjau teori fizik, kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah yang lain yang berada di kiri dan kanan kita, akan menstabilkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh tubuh. Ia berlaku apabila cas yang berlebihan-sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita. Semakin segar setelah melakukan solat berjemaah adalah nikmat dan rahmat bagi yang percaya dan menyerah diri kepada Allah.


Justeru itu sahabat... Tidak pelikkah kalian dengan bilangan umat Islam yang ramai mencecah 6.5 billion, saudara Islam kita di Palestin masih dicabut maruah mereka, bumi kita Palestin dan negara-negara tinggalan empayar Islam satu ketika dahulu yang masih tidak dapat dikuasai kembali, ummat Islam yang dirampas hak mereka di Thailand, sistem Islam yang direndahkan di Turki, dan saudara Islam China yang dibunuh? Lalu tidak hairanlah masalah yang melanda ummat Islam pada hari ini sehingga tercabut kegerunan musuh Islam adalah kerana kita semakin jauh dengan unjuran nabawi - we have quantity but not quality. Sehingga akhirnya kita jauh dari rahmat, kasih sayang dan pertolongan Allah (nauzubillahiminzalik).


Oleh itu, sahabat yang dirahmati Allah sekalian, marilah kita sama-sama menghayati sekecil-kecil tuntutan nabawi ini, solat berjemaah agar Allah mengasihani kita. Di samping solat jemaah, berperananlah dengan mula memperbaiki diri dan keluarga dengan kefahaman Islam yang sahih dan murni menurut petunjuk nabawi agar kemanisan cinta sejati dapat kita kecapi!


Solat itu tiang agama,
Wajiblah kita menunaikannya,
Saat disoal di akhirat sana,
Solat itu yang utama.

Teruskan usaha mengenal pencipta,
Kemanisan iman nikmat tak terhingga,
Moga istiqamah setiap masa,
Kelak Allah beri balasannya.

I LUV ISLAM

Saturday, June 19, 2010

19 Hadis mengenai wanita


1. Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana
sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki.
Ketika ditanya kepada Rasulullah akan hal tersebut,
jawab baginda, "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan
doa orangyang penyayang tidak akan sia-sia".

2. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam
rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya.
ALLAH mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000
kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

3. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak
bersalin, maka ALLAH mencatatkan baginya pahala orang
yang berjihad pada jalan ALLAH.

4. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak,
keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya
melahirkannya. 5. Apabila telah lahir anak lalu
disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan
daripada susunya diberi satu kebajikan.

6. Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara
anaknya yang sakit,maka ALLAH memberinya pahala
seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk
membela agama ALLAH.

7. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya,
darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana
takutkan ALLAH dan orang yang takutkan ALLAH, akan
diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

8. Barangsiapa membawa hadiah, (barang makanan dari
pasar ke rumah) lalu diberikan kepada keluarganya,
maka pahalanya seperti bersedekah. Hendaklah
mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki.
Maka,barangsiapa yang menyukakan anak perempuan
seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

9. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan
agama, maka ALLAH memasukkan dia ke dalam syurga lebih
dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).

10. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa
bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat
akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana
sahaja yang dikehendaki.

11. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada
1,000 lelaki yang soleh.

12. Aisyah berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah,
siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita?
Jawab Rasulullah, "Suaminya. "Siapa pula berhak
terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah, "Ibunya".

13. Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu,
maka jawablah panggilan ibumu dahulu.

14. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di
laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari
dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia
taat kepada suaminya serta menjaga sembahyang dan
puasanya.

15. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan
tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu
syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia
kehendaki dengan tidak dihisab.

16. Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.

17. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan
tinggal bersama aku (Nabi s.a.w) di dalam syurga.

18. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau
tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau
dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam
pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan
penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya
syurga.

19. Daripada Aisyah r.a. Barangsiapa yang diuji dengan
sesuatu daripada anak-anak perempuannya, lalu dia
berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi
penghalang baginya daripada api neraka. "Jadi,
janganlah sesekali kita merasa lemah. Wanitalah
sebenarnya yang membuat seseorang lelaki itu kuat.
Itulah salah satu sebab mengapa Nabi meletakkan wanita
setaraf pada lelaki dan tidak lebih rendah."

Wednesday, June 16, 2010

Pesanan istimewa untuk diri saya dan kawan2. Mesti baca ya!



Iman seseorang telah disepakati oleh para ulama boleh menaik dan menurun berdasarkan pelakuan di dalam kehidupan sehariannya. Jika dosa memenuhkan ruang kehidupannya dengan dosa, keimanan akan menurun, memberi kesan kepada seluruh amalan. Solat menjadi tidak khusyu' dan berat, demikian amalan kebaikan dirasa membosankan dan teramat menjemukan. Perasaan kesal dan rasa bersalah atas pelakuan dosa pula akan semakin pudar, hasilnya, keimanan di dalam hati menjadi semakin malap tanpa sinar.

Dosa dan pahala boleh bercambah dengan mudah, tanpa kawalan dan kesedaran sebaiknya, catatan amalan seseorang mungkin mengejutkannya di hari pembalasan kelak, sama ada disebabkan dosa yang di luar jangkaan atau timbunan pahala yang tidak disangka. Jika ia pahala, Alhamdulillah, namun bagaimana jika dosa yang memenuhi buku catatan amalan?.

Melalui artikel ini, sekadar ingin mengingatkan kita semua agar lebih peka terhadap salah satu punca percambahan dosa. Malah dosa yang kecil boleh berubah wajah kepada Kabair (dosa besar) akibatnya. Tujuan tulisan ini tidak lain agar kita semua dapat lebih berhati-hati terhadap dosa yang tidak disedari sedang dipromosi dan disebarkan.

FILEM, DRAMA DAN DOSA

Perlu kita semua fahami, manusia selain Rasulullah s.a.w tidak akan dapat lari dari dosa. Paling kurang dosa-dosa kecil. Sebagai contoh, dosa-dosa kecil amat mudah diperolehi apabila kita menonton televisyen sama ada melalui tontonan aurat lelaki wanita di dalam siri drama, filem iklan, hatta berita. Dosa kecil juga boleh berlaku apabila kerananya sekiranya seseorang itu melalaikan tanggungjawab agama yang lain dan pelbagai lagi kekurangan kerananya.

Telah dibincang panjang lebar oleh ulama Islam, TV dan filem adalah neutral, jika digunakan untuk tujuan kebaikan, maka pahala diperolehi, jika keburukan, dosa tentunya.

Sudah menjadi norma hari ini, hampir semua keluarga mempunyai TV walau setinggi manapun tahap keilmuan agamanya. Jika tiada TV, internet juga turut memasuki kebanyakan rumah umat Islam hari ini, segala jenis filem dapat ditontoni melaluinya.

Di ketika saya bersetuju dan tertarik dengan seruan para ilmuan dan pendakwah agar kita memboikot Yahudi Zionis dengan memboikot segala jenis hiburan melalaikan di televisyen atau internet, kerana itu adalah antara agenda penting mereka dalam merosakkan umat Islam. Namun begitu, sebahagian pendakwah ini mungkin terlupa menyedarkan, bahawa filem-filem dan drama yang biasanya ‘box office' karya Hollywood juga adalah karya hedonimse Barat dan Yahudi Zionis. Itu juga sepatutnya diboikot.

Namun, desakan nafsu dan Syaitan kerap mendorong sebahagian kita untuk terus melihat kisah-kisah paparan kreativiti karyawan Barat ini. Walau kita tahu ia bercampur baur adegan dosa ( berpelukan, bercium dan sebagainya) dan pemaparan aurat tentulah amat pasti.

DOSA KECIL YANG MEMBESAR DAN BERGANDA

Benar, secara umumnya, ia mungkin masih dianggap dosa-dosa kecil. Dosa kecil disebut oleh Nabi s.a.w boleh terhapus dengan solat fardhu, solat Jumaat, zikir, istighfar dan pelbagai amalan lain. Namun demikian, dosa kecil seperti itu boleh berganda sehingga adakalanya amalan seseorang tidak lagi mampu memadamkan keseluruhannya.

Bilakah itu?

Ia adalah apabila tontonan kita itu dikongsikan kepada orang lain melalui pendedahan kita sendiri sama ada di ketika bercerita berkenaannya, mungkin dalam ulasan kita. Atau lebih teruk lagi dipamerkan di FACEBOOK sebagai filem (movies) yang diminati, drama TV disukai, buku didambai, muzik dikagumi dan sebagainya.

Bagi saya, tindakan mengisi ruang itu dengan sebarang filem yang majoritinya mendedahkan aurat dan bercampur baur pengajarannya adalah sama seperti mempromosikannya, memberikan iklan percuma kepadanya, memaklumkan keredhaan kita terhadapnya.

Mungkin terkecuali jika kita menyiarkan minat kita terhadap movie pengajaran seperti Kung Fu Panda, Toy Stories, Cars, Omar Mukhtar atau dokumentari dan keagamaan seperti National Geographic, Discovery Channel, Berita, Al-Kuliyyah, Tanyalah Ustaz, Halaqah, Akademi al-Quran dan sebagainya.

Memaparkan minat kita rancangan TV atau Movie yang jelas bercampur aduk dosa dalam majoriti adegannya seperti ‘Desparate Housewives', ‘Friends', ‘Pretty Women', ‘Notting Hill', ‘Kuch Kuch Hota Hai', ‘HEROES' dan jutaan lagi filem sepertinya.

Walaupun seseorang itu memang meminati dan menontonnya, namun sedarilah tontonan itu mengakibatkan banyak dosa-dosa kecil. Tontontan itu tanda akibat kelemahan diri kita sehingga terjebak dalam dosa sebegitu.

Memaklumkannya kepada orang lain akan minat kita terhadap filem itu adalah dosa gandaan yang lain. Ia adalah sebuah promosi iklan secara percuma. Malah mendedahkan sokongan kita terhadap movie dan drama bermaksiat. Bukan sekadar movies sahaja malah hal yang sama terpakai buat promosi buku, novel, muzik dan public figure atau artis (khususnya di facebook).

Saya bimbang, keghairahan berkongsi segala-galanya di dalam facebook, blog dan forum akan tanpa sedar mempergandakan dosa seseorang.

Kecuali jika diyakini dengan ilmu dan iman bahawa pengajaran BAIK dari filem yang ingin dikongsi tersebut atau ditanda sebagai ‘like' itu MELEBIHI UNSUR DOSA DAN BURUK. Sebagaimana drama-drama bermesej islam, penuh pengajaran tetapi masih dilakonkan oleh pelakon mendedah aurat. Jika diyakini unsur positifnya melebihi dan negatif, tatkala itu mungkin wujudnya sedikit justifikasi untuk dipapar dan ditonjolkan dalam senarai drama diminati. Dengan niat agar orang lain turut mendapat pengajarannya.

Selain berkongsi minat terhadap hal yang disebut di atas, ada juga yang mendedahkan dosanya melalui gambar. Gambar seperti :

* ketika sedang minum arak,
* hadiri parti penuh maksiat,
* hadiri majlis dosa,
* sedang berpelukan lelaki wanita
* atau bersentuhan wanita dan lelaki yang bukan mahram (walaupun bagi seorang doktor kerana keperluan, tetapi gambar sedemikian PATUT disembunyikan)
* dan sebagainya,

Sekiranya semua yang disebut tadi dikongsi di facebook dan blog, kita bimbang individu terbabit tergolong di dalam kategori penyebar dosa dan pembuka aib diri sendiri. Nabi s.a.w memberi ingatan :-

كل أمتي معافى إلا المجاهرين، وإن من المجاهرة أن يعمل الرجل بالليل عملا، ثم يصبح وقد ستره الله عليه، فيقول: يا فلان عملت البارحة كذا وكذا، وقد بات يستره ربه، ويصبح يكشف ستر الله عليه

Ertinya : Setiap umatku (boleh) diampunkan kecuali mereka yang mendedahkan (dosanya), ada di kalangan yang mendedahakn ini , melakukan suatu dosa di waktu malam, berpagi-pagi sedang Allah menutup keaiban dosa itu, namun tiba-tiba dia mendedahkan seraya berkata :" Wahai fulan, semalam aku lakukan itu dan ini" maka terhapuslah tutupan Tuhannya dan jadilah ia membuka (rahmat) Allah yang menutup keaibannya.( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Justeru itu, jadikanlah dosa peribadi disebabkan menonton filem bercampur maksiat, atau menyukai musik hedonisme, ata melakukan maksiat secara fizikal kerana zina, curi, tidak solat dan sebagainya, sama ada kecil atau besar yang dilakukan di rumah, tersembunyi adalah antara individu terbabit dengan Allah SWT. Tujuannya agar seseorang itu beroleh rahmat Allah dan diberi hidayah untuk bertaubat sebelum maut menjelma.

Mungkin disebabkan pendedahannya, apabila ia ingin atau telah bertaubat, sukar untuknya untuk memaklumkan kepada semua yang pernah mendengar atau mengetahui pendedahannya agar bertaubat sama, malah taubatnya juga mungkin diragui orang lain atau paling kurang, membawa masalah dalam hati seperti boleh menumbulkan riya' dan sum'ah.

Justeru jalan terbaik atas apa jua bentuk dosa yang telah atau pernah dilakukan adalah senyap dan sembunyikan. Ia bukan hipokrit ! tetapi ia dituntut oleh Allah dan RasulNya dan usahakan bertaubat. Hiprokrit adalah bagi mereka yang berpura-pura baik, tetapi dalam hal ini, si pelaku dosa hanyalah menyembunyikan dosanya. Tidak timbul persoalan dia cuba mengabui mata orang ramai dan berpura-pura baik. Rasulullah bersabda :

اجْتَنِبُوا هَذِهِ الْقَاذُورَةِ الَّتِي نَهَى الله عَنْهَا فَمَنْ أَلَمَّ فَلْيَسْتَتِرْ بِسَتْرِ الله وَلْيَتُبْ إِلَى الله. فَإِنَّهُ مَنْ يُبْدِ لَنَا صَفْحَتَهُ نُقِمْ عَلَيْهِ كِتَابَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ.

Ertinya : "Jauhilah perkara-perkara keji (maksiat) yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menyembunyikannya dengan tutupan (yang diberikan) Allah dan bertaubat kepada Allah SWT. Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla." [Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615 dan beliau berkata: "Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya." Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.]

Pengecualiannya hanyalah apabila kes melibatkan aib dan dosa ini diajukan di mahkamah untuk menangani sesuatu kes, atau ketika merujuk kepada kaunselor diyakini untuk membantu dan ilmuan Islam untuk mengetahui hukum dan kaedah pemulihan.

Allah itu maha pengampun dan sentiasa menginginkan kita bertaubat dan beristighfar, maka antara ciri taubat yang mudah diterima adalah apabila dosa tidak didedahkan. Di dalam sebuah lagi hadis sohih disebutkan :-

أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : يدني الله عبده المؤمن ، فيضع عليه كنفه ويستره ، فيقول : أتعرف ذنب كذا ؟ أتعرف ذنب كذا ؟ فيقول : نعم ، أي ربِّ ، حتى إذا قرره بذنوبه ، ورأى في نفسه أنه قد هلك ، قال : سترتها عليك في الدنيا ، وأنا أغفرها لك اليوم

Ertinya : Nabi bersabda : (Di akhirat kelak) Allah akan menghampiri seorang hambanya yang mukmin lalu melindunginya lalu berkata : Adakah kamu tahu dosa kamu ini? Adakah kamu sedar akan dosa ini? Lalu jawab lelaki itu Ya Wahai Tuhan dan sehingga dia mengakui dosanya dan merasakan dia akan binasa (dihukum), Allah berkata : Aku telah menutupinya di dunia dahulu ( dari pengetahuan manusia), dan hari ini aku akan mengampunkannya ( Riwayat Al-Bukhari)

Jelas dari hadis di atas, dosa yang dilakukan dan tidak didedahkan berpeluang mendapat belas kasihan Allah di akhirat untuk diampuni. Namun bagi mereka yang telah lebih dahulu berbangga bercerita, mengiklan, promosi dan sebegainya sejak di dunia lagi, dibimbangi tidak cukup layak mendapat belas kasihan dan rahmat Allah serta pengampunannya.

KESIMPULAN

Segeralah memadam paparan minat dan keterlibatan terhadap apa jua aktiviti, tayangan, muzik, bacaan selain untuk Allah, Rasul dan apa yang mendekatkan diri kepada keredhaan Allah. Walau sebanyak, sedalam manapun minat, sejauh manapun keterlibatan, sembunyikan ia, bukan bertujuan untuk menipu manusia lain, tetapi agar dia tidak tergolong dalam kalangan berbangga dengan dosanya, mempromosi, membuka aib sendiri dan mengiklan kejahatan kepada orang lain.

Semaklah facebook anda, blog, website, forum dan sembangan harian agar tidak tersalah dan mempergandakan dosa.

Monday, June 14, 2010

MARI DEMONSTRASI HARI-HARI


Setelah pulang daripada demonstrasi anti-Yahudi, seorang Pak Cik berbual dengan saya sewaktu sama-sama menunggu giliran mendapat rawatan di sebuah klinik.

“Puas hati. Kami dah bakar bendera Israel. Hancur luluh dibuatnya. Gambar PM Israel pun banyak yang kami robek-robekkan. Kalaulah tidak mengenangkan undang-undang, kami dah bakar kedutaan Amerika. Tapi kami masih rasional.”
Saya mengangguk-angguk kepala sahaja.

“Tel Aviv akan bergegar minggu ini dengan demonstrasi oleh seluruh dunia Islam. Dijangka banyak lagi siri demonstrasi akan diatur minggu hadapan. Awak jangan lepas peluang.”

Saya mengangguk kepala. Mungkin kerana demam, saya banyak diam. Lagipun saya telah berjanji pada diri, dalam berinteraksi perlu menjadi pendengar.

“Eh, awak tidak ada respons langsung. Baru demam sikit… janganlah begitu. Rakyat Palestin dibom, ditembak dan disekat bekalan makanan dan keperluan. Itu lagi teruk.”

Kali ini saya senyum. Saya bersuara perlahan, “saya sokong tindakan Pak Cik dan demonstrasi menyatakan pendirian kita menentang kekejaman Yahudi.”
“Bagus. Suara saya serak melaungkan takbir semalam. Dada ni sakit-sakit sejak akhir ni.”
“Kenapa Pak Cik?”
“Rokok dik. Semuanya fasal rokok ni.”
“Pak Cik hisap rokok apa?” saya mula teruja untuk berbual.
“Masih Winston. Dah sebati sejak dulu.”
“Winston from America?” bisik saya perlahan.
Kali ini Pak Cik tu pula mengangguk-angguk.

“Sakit-sakit Pak cik pun masih kuat berdemonstrasi. Apa pandangan adik tentang demonstrasi ini?” kilasnya mengalih arah perbualan.
“Ada langkah yang lebih utama dan pertama daripada itu,” tegas saya.
“Apa dia?”
“Solat Subuh berjemaah.”

“Kita cakap bab jihad, awak bercakap bab ibadat.” Muka pak Cik itu mula memerah. Tangannya mula digenggam.
“Jihad dan ibadat tidak terpisah. Bahkan ibadat itulah yang akan membangunkan roh jihad yang sejati.”
“Kita mesti sanggup memikul senjata.”
“Betul. Tetapi kuakkan dulu selimut menutup umat yang masih tidur menjelang Subuh.”
“Saya tak faham.”

“Pak Cik, Israel mesti ditentang menurut kaedah yang menyakitkan mereka.”
“Apa yang menyakitkan mereka?”
“Mereka bimbang sekiranya bilangan orang Islam yang solat subuh berjemaah sama dengan bilangan orang Islam yang solat Jumaat! Ini diakui oleh cerdik pandai mereka sendiri.”
“Jadi?”
“Sebaik-baik ‘demonstrasi’ ialah didik umat ini bersolat Subuh secara berjemaah di surau-surau dan masjid. Solat itu hubungan kita dengan Allah. Jangan harap musuh akan kalah, kalau Allah tidak bantu kita. Lihat di Badar, lihat di Khandak, bagaimana Rasulullah saw dan sahabat akrab dengan Allah. Lihat pula Salehuddin, lihat pula Muhammad al Fateh, bagaimana teguhnya mereka menjaga solat dan ibadat-ibadat khusus yang lain.”
Hampir terlupa saya pada janji diri untuk lebih mendengar. Saya menarik nafas panjang. Kembali merenung Pak Cuik tersebut dengan senyuman.

“Awak rasa bakar bendera Israel tak perlu? Mana kemarahan awak?”
“Bakar bendera Israel boleh saja. Ayuh, bakarlah. Tetapi jangan membakar rokok Amerika dan sekutu Yahudi yang lain lebih perlu. Cukup kalau sebulan sahaja umat Islam berhenti merokok, mungkin jumlahnya sudah berjuta-juta ringgit. Dan wang yang terkumpul itu hantarkan ke misi bantuan kemanusiaan ke Gaza!”
“Awak sindir saya?”

“Pak Cik saya tidak menyindir. Kebanyakan umat Islam, termasuk saya, hanya bencikan Yahudi pada mulut sahaja tetapi pada tindakan tidak.”
“Saya dah bertindak. Saya dah demonstrasi!”
Lagi-lagi ke situ fikirnya.
“Pak Cik dalam Al Quran, Allah tegaskan orang Yahudi itu tidak akan redha selagi kita umat Islam tidak mengikut cara hidup mereka.”
“Siapa kata kita ikut cara hidup mereka?”

“Pak Cik, lihat betul-betul. Apakah masyarakat kita telah bangunkan cara hidup Islam?”
“Kita orang Islam. Cara hidup kita mesti Islam.”
“Tidak Pak Cik. Ramai umat Islam yang tidak amalkan cara hidup cara Islam.”
“Contoh?”
“Dedah aurat, pergaulan bebas, riba, judi, arak, tinggal solat, budaya hedonisme dan dualisme masih berakar umbi dalam masyarakat kita. Lihat sahaja unsur tahyul, mistik, seks bebas dan gosip yang mendominasi media-media umat Islam. Tidak ikut cara hidup Islam bererti terperangkap dengan cara hidup isme kapitalis, sosialis mahupun liberalis.”

Pak Cik itu terkejut sedikit, lantas menyampuk, “mana Yahudinya. Awak kata Yahudi, tapi yang awak sebut golongan hedonis, liberalis, kapitalis dan sosialis?”
“Ketiga-tiga isme itu sama.”
“Sama?”
“Kesemuanya dicipta oleh golongan yang sama… ZionisYahudi!”
“Jadi demonstrasi ini tidak berfaedah?”

Saya menggeleng-gelengkan kepala perlahan.
“Ada faedahnya. Tetapi ia bermusim dan agak bersifat agak artifisial. Kita perlu agenda yang konsisten dan ‘genuine’.”
“Misalnya?”
“Ajak orang Islam serius solat lima waktu dengan penghayatannya sehingga dengan solat itu mampu meninggalkan kejahatan dan kemungkaran.”
“Lagi?”
“Tinggalkan riba, judi, arak dalam kehidupan umat Islam. Wanita Islam didakwah dan ditarbiah secara berhikmah untuk menutup aurat dalam ertikkata sebenar dan tinggalkan pergaulan bebas!”
“lagi?”

“Pak Cik, cara hidup Islam itu terlalu banyak. Dengan mengamalkannya satu persatu kita boleh ‘berdemonstrasi hari-hari’ terhadap atas Yahudi. Bila kita boikot cara hidup berseronok-seronok yakni hedonisme, ertinya kita boikot cara hidup Yahudi yang disalurkan melalui dalang-dalang mereka di Holywood.”
“Idola Amerika?”
“Ya. Juga idola kita yang meniru persis mereka. Bangsa yang leka berhibur akan mudah dijajah.”

Pak Cik itu batuk-batuk.
Saya urut belakangnya.
“Dah lama Pak Cik batuk? Berhentilah atau kurangkan perlahan-lahan ya Pak Cik?” kata saya seakan-akan merayu.
“Semangat Pak Cik kuat, saya doakan Pak Cik berjaya. Amin.”
“Tak terfikir pula saya begitu jauh kita dibius oleh cara hidup musuh yang kita benci.”
“Kadang-kadang musuh ketawa melihat kemarahan kita. Bangunkan remaja kita untuk solat subuh berjemaah, Yahudi akan sakit hati. Tutup aurat remaja perempuan kita, Yahudi akan sakit hati. Tinggalkan riba, judi, arak, pergaulan bebas, insya-Allah, Yahudi akan gigit jari.”

“Tetapi kalau cara hidup kita mengikut telunjuk jari mereka, Zionis akan ketawa sekalipun berlambak-lambak bendera mereka kita dibakar. Jeritan Allah hu Akbar dalam demonstrasi itu baik, bersemangat tetapi ucapan takbir dalam solat lima waktu lebih besar maknanya. Apakah Allah akan nilai laungan Allah hu Akbar daripada umat yang tidak solat? “

“Eh, kami yang demonstrasi semua solat…”
“Bukan itu maksud saya. Tetapi seluruh umat Islam ini. Saya risau kerana ada kajian menunjukkan 80% umat Islam sudah tidak solat. Itu yang tidak solat langsung. Bayangkan pula yang solat tanpa ilmu, tanpa penghayatan dan tanpa khusyuk? Jadi berapa kerat umat ini yang benar-benar kompeten menghadapi Zionis dalam erti kata sebenar?”

Giliran Pak Cik itu tiba. Dia melangkah perlahan menuju bilik rawatan. Ditinggalkan sendirian begitu, saya lontarkan pandangan ke luar klinik. Terus merenung dan berfikir. Masih terbayang wajah pemimpin-pemimpin dan para pengikut yang ramai dalam demonstrasi seperti yang dipaparkan di dada akhbar dan di kaca televisyen. Alangkah indahnya jika demonstrasi dibuat sesuai solat Subuh berjemaah dan sebelum itu didahului oleh qiamulail dan qunut nazilah?

Dan kemudian setelah selesai berdemonstrasi, para pemimpin dan ribuan pengikutnya itu terus sahaja mengamalkan cara hidup Islam dalam diri, keluarga, jabatan, unit, organisasi, masyarakat dan bahagian masing-masing. Bukan hari itu sahaja… tetapi hari-hari. Setiap hari!

Ah, bagaimana umat ini hendak disedarkan bahawa mengamalkan cara hidup Islam itulah cara penentangan yang paling dibenci oleh Yahudi? Firman Allah:
“Sekali-kali tidak redha orang Yahudi dan Nasrani sehingga kamu mengikut millah (cara hidup) mereka.”

Dan alangkah baiknya jika jeritan Allah hu Akbar, dibuktikan dengan penegakan hukum Allah dalam seluruh sistem kehidupan sekali gus ‘mengecilkan’ pandangan akal sendiri dalam menyusun dan mengatur kehidupan ini?

http://genta-rasa.com

Kami Benci Israel....Zionis lakhnatullah....


Sunday, June 13, 2010

Hamba Ukhuwwah Atau Hamba Allah?

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." - Surah Ali Imran: 104

Meniti hari dengan penuh kesan dakwah dihati memang sungguh menceriakan. Lebih-lebih lagi apabila yang berjuang seiring itu adalah sahabat sejati. Kadang-kala saya terfikir, apakah kerana persahabatan itu dakwah berjalan dengan lancar tanpa secalit noda. Bahkan berkali-kali saya terfikir… Andai itu benar, berkali-kali saya merasakan kemalasan untuk menghadiri sesetengah meeting dek kerana segolongan manusia yang saya tidak gemar pembawakannya.

Berkali-kali juga saya meneropong diri. Kadang-kala saya menemui titik awal masalah, tetapi kebanyakannya saya buntu. Bila saya buntu, saya akan terus berfikir dan berfikir. Sehinggakan jika terjaga pada waktu tengah malam juga, fikiran saya terimbas akan sesetengah perkara itu.

Pada pandangan saya, ukhuwwah itu merupakan titik tolak runtuhnya sesebuah organisasi. Mengapa saya berkenyataan begitu? Anda pernah terfikir mengapa sesebuah parti politik boleh kehilangan ahlinya dek kerana lompat parti? Ahh.. anda fikir sendiri.

Saya merasakan bahawa ukhuwwah itu hanyalah salah satu nikmat dan ujian dalam berdakwah. Sungguh nikmat jika ada sahabat yang boleh sama-sama tegur-menegur akan kesalahan kita. Alangkah nikmatnya jika ada sahabat yang mampu seikhlas hati menolong di dalam kesusahan persis Khulafa’ al Rasyidin... Nikmatnyaa...

Tetapi, alangkah malangnya jika sahabat yang dianggap sahabat menconteng arang kemuka kita. Menikam terus kedasar hati lalu kita rebah lalu tidak bangun-bangun kembali. Dan saat itu, apakah kerana sahabat yang tidak berperikemanusiaan itu kita jatuh lalu terbuang ke satu daerah yang jauh dan sangat jauh dari trek dakwah itu sendiri? Apakah? Apakah?

Ya jika anda telah menjadi hamba UKHUWWAH tetapi buka hamba ALLAH.

Saya selalu terfikir. Saya berdakwah dan terlibat dengan dakwah bukan kerana ukhuwwah tetapi kerana Allah. Saya dipanggil Allah untuk terlibat di dalam dakwah, bukanya dipanggil oleh ukhuwwah.

Saya juga pernah beberapa kali jatuh dalam medan ini. Berkat pertolongan Allah, saya bangun kembali dan apabila saya menoleh kembali kebelakang, saya tersenyum dan berkata apapun takkan mampu mengatasi kuasa Allah dalam menjatuh bangunkan manusia...

WALLAHU ’ALAM..

Wednesday, June 9, 2010

Coretan Seorang Hamba

Di atas hamparan sejadah suci
Hamba menadah kedua telapak tangan ini
Bagi memohon keampunan dan rahmat dariMu
Agar diberikan hamba hidayah serta taufiqMu
Supaya tidak tersimpang hamba dari jalanMu

Hati hamba merasa hambar dan sunyi
Tanpa iman dan semangat taqwa dalam hati
Jiwa hamba kosong dan takkan berisi
Melainkan dengan redha
Yang Maha Mengetahui
Yang menemukan hamba dalam bingkisan restu
Yang Maha Mengasihani

Saat tasbih mengisi ruang kosong di jari-jari
Mulut dan hati hamba bersatu berzikir mengingat Ilahi
Jiwa hamba terisi dengan munajat di malam hari
Diri ini hamba abdikan buat Pencipta langit dan bumi
Moga dosa-dosa lampau dapat dihapusi dan diampuni

Kening ini hamba rapatkan di atas hamparan murni
Sujud dahi hamba mencecah ke bumi
Tanda syukur hamba akan kebesaran Ilahi
Tidak terukur nilai cintaMu yang tinggi
Tidak terhitung nilai kasihMu yang bertambah setiap hari

Ya Rabbul Izzati…
Sudikah Kau menerima cinta hamba yang hina dengan longgokan dosa ini??
Semoga keampunan mendapat tempat untuk hamba yang sering lupa diri
Semoga rahmatMu sentiasa hadir menemani
Agar kehidupan duniawi dan ukhrawi hamba diredhai

Hamba amat mendambakan cinta dariMu
Hamba juga mengharapkan pertemuan denganMu
Diri hamba ini dahaga akan belaian kasihMu
Hamparan sejadah suci hamba buktikan padaMu
Sujud cinta hamba hanyalah untuk Tuhan yang berkuasa di atas segala sesuatu



Pesanan buat diriku n shbt2,ubat hati ada 5:
1)banyakkan qiam
2)mbaca Al-Quran waktu dinihari
3)sntiasa bsama org soleh
4)bpuasa di panas terik
5)bsifat dgn sifat taqwa

ampunilah segala kesalahanku terhadapmu

Monday, June 7, 2010

Mari Mengenali Muhammad al-Fateh Pembebas Constantinople


D
ilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki-Bulgaria). Menerima pendidikan yang bersepadu. Guru agamanya Syeikh Samsudin al-Wali (berketurunan Sayidina Abu Bakar al-Siddiq r.a). dalam ilmu peperangan, baginda telah diajar taktik dan strategi peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.

Fasih bertutur dalam tujuh bahasa: Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Ayahandanya, Sultan Murad II telah melantiknya sebgai pemangku khalifah semasa baginda berusia 12 tahun dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk (mengasingkan diri untuk bertafakur,menenangkan fikiran) ke Pulau Magnesia.

Sifat Mukminnya
Baginda bersifat tawaduk, rendah diri, tenang, berani,sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia. Sangat cintakan ulama dan selalu berbincang dengan mereka. Sentiasa membawa ulama ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya.

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan setelah Constantinople dibebaskan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam.

Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardu walau sekali sila duduk!” Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang mereka pernah meninggalkan solat fardu.

Baginda bertanyakan lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat rawatib sila duduk!” Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajud walaupun satu malam, sila duduk!” Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad al-Fatih sendiri. Bagindalah yang mejadi imam.


Sifat Profesionalnya
• Dua tahun mengkaji pelan Kota Constantinople pada setiap malam bagi mengenal pasti lokasi kelemahannya.
• Mengarah dibinanya meriam besar yang boleh menembak bom seberat 300kg sejauh 1 batu.
• Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, sebagai strategi mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus.
• Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople.
• Mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera.
• Mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Taktik ini diakui sebagai antara taktik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri.


Saturday, June 5, 2010

BEZA ANTARA YAHUDI,ZIONIS DAN ISRAEL


1. Yahudi berasal dari perkataan ‘ibri’, ‘abra’, ‘ibrani’ yang bermaksud potong jalan/berpindah. Yahudi berasal dari keturunan Sam (semitik) bin Nuh. Semitik merujuk kepada bangsa Yahudi,Arab,Chaldaen dan Assyrian.

2. Bermula dengan Nabi Ibrahim yang merupakan bapa kepada para nabi. Nabi Ibrahim berkahwin dengan Siti Hajar dan mendapat Nabi Ismail yang kemudiannya menjadi moyang bangsa Arab. Selain itu,hasil dari perkahwinan dengan Siti Sarah lahir Nabi Ishak. Dari keturunan Nabi Ishak munculnya Nabi Isa dan Nabi Yaakub.

3. Nabi Yaakub inilah yang disebut sebagai Israel, Yaakub mempunyai 12 anak dan munculnya 12 keturunan Bani Israel pada zaman Nabi Musa. Dan bermula pada zaman Nabi Musa ini sebahagian dari mereka mengambil ajaran baginda dan menggunakan nama Yahudi bermakna semua Yahudi adalah Bani Israel dan bukan semua Bani Israel adalah Yahudi. KeturunanYahudi ini diturunkan melalui darah bermakna tiada orang yang boleh menganuti agama Yahudi melainkan turun melalui darah.

4. Tidak semua Bani Israel berfahaman Yahudi ada Bani Israel beragama Islam dan Kristian. Munculnya Theoder Herzl’s seorang Yahudi berbangsa Hungary telah mengumpulkan orang Israel dari seluruh pelusuk dunia membawa idea penubuhan Israel raya. Oleh itu,ada sekelompok Bani Israel ini ingin menubuhkan suatu negara besar Israel raya.

5. Keturunan Yahudi sekarang terbahagi kepada 3 kelompok iaitu bangsa Sephardim di Sepanyol,Oriental Jews di Arab dan Ethiopia,dan Ashkenazim di Eropah. Kemunculan 3 kelompok ini hasil dari perpindahan pada abad 17SM. Karl Marx, Hitler dan Albert Pike adalah keturunan Ashkenazim. Karl Max terkenal dengan fahaman Komunis yang berpendapat agama adalah candu kepada masyarakat dan perlu disebarkan kepada Goyyim(manusia selain Yahudi).

6. Keturunan Yahudi yang tulen adalah dari jurai keturunan ibu. Ashkenazim dikatakan bukan keturunan sebelah ibu atau keturunan 12 Bani Israel tetapi digelar keturunan ke-13 ataupun anak haram kerana bukan datangnya dari keturunan jurai ibu. Manakala di Eropah juga bukan dari keturunan jurai ibu tapi bapa.

7. Tetapi bukan semua Yahudi itu adalah Zionis di mana ada juga penganut Yahudi yang menbangkang kekejaman Rejim Zionis. Ini kerana,Rejim Zionis bersifat sekular,tidak berpegang pada asal dan bertentangan dengan melakukan kezaliman.

8. Di Amerika,telah wujud gerakan baru iaitu New Conservative. Bekas Presiden Amerika Syarikat George Bush Jr. merupakan pengikut untuk gerakan ini dan sangat agresif terhadap Palestin.

9. Berikut merupakan nama Yahudi di seluruh dunia:
• Berg” ( Goldberg)
• Man” (Goldman,Ligthman)
• Stein” (Einstein)
• Ler” (Adler)
• Ner” (Asner)
• Ilin” (Gitlin)
• Witz” (Horowitz)
• Baum” (Teitelbaum)
• Off” (Chartoff)
• Nik” (Resnik)
• Thal” (Rosenthal)
• Ling” (Spelling)
• Sky” (Linsky)
• Farb”(Himmelfarb)
• Feld”(Seinfeld)

Sebagai contoh Arnold Swarzenegger,seorang pelakon Hollywood terkenal merangkap Gabenor California sebenarnya adalah Yahudi kelahiran Austria. Bapanya pula ialah Parti Nazi Austria yang pernah menjawat jawatan penting dalam pasukan keselamtan Austria.

10. Dalam Kitab Injil Bahagian 01 telah dinyatakan ’tanah yang dijanjikan’ antara Sungai Nil,Mesir hingga ke Sungai Eupharates, Mesopotamia di Iraq untuk keturunan Ibrahim atau Abraham.

11. Manakala Zionis merupakan gerakan yang dipelopori Moses Hess yang menubuhkan sebuah negara haram,Israel. Yahudi mula berpindah pada tahun 1897. Zionis merupakan gerakan politik orang Yahudi yang menyokong penubuhan semula ‘tanah yang dijanjikan’ untuk bangsa Yahudi di Palestin pada abad ke-19 di mana ketika itu dikuasai oleh Kerajaan Turki Uthmaniyah.

12. Pada 1903 – 25,000 Yahudi tiba dari Eropah Timur.Antara 1904-1914 sudah ada 40,000 orang Yahudi.

13. Israel diisytiharkan pd 14 Mei 1948. Negara Arab serang Israel. Gerila lebih berperanan dari pemimpin Arab. Mesir dapat Semenanjung Gaza manakala Jordan dapat Timur Jerusalem (Tebing Barat). Sejak itu,perang terus berlaku dan sehingga kini telah mencecah 60 tahun.

14. Sejak itu rakyat Palestin tersepit dalam siri peperangan :
• Perang 1948- ½ juta dihalau dari Palestin.
• Perang 1967- ½ juta keluar.
• Perang 1973- Arab kalah
• 1.5 juta hidup di 8 khemah pelarian -60 tahun

15. Yahudi yang bermazhab ekstrem Haredim inilah yang telah menyerang Palestin terkini iaitu antara 27hb Dis 2008 – 20hb Jan 2009. Antara hukum-hakam penganut Yahudi ini ialah suara wanita adalah aurat,wanita tidak boleh memandu seorang diri,wanita tidak boleh menjadi pemimpin dan melakukan majlis perpisahan antara lelaki dan perempuan. Manakala dari segi pemakaian Zionis adalah berserbakan hitam contohnya kopiah kecil hitam ataupun yang besar dan golongan perempuan pula menutup aurat melepasi paras lutut.

16. Simbol pada bendera Zionis:










17. Zionis menjadi sekutu kepada Amerika Syarikat. Terdapatnya Zionis Lobi yang tidak terlibat secara langsung dalam politik yang merupakan golongan kaya muncul pada awal abad ke-20.

18. Zionis juga telah menguasai bank. Jenama kereta Ford-ford Found telah memberi bantuan kewangan kepada media elektronik seperti CNN,ABC (Australian),Sky Tv., Hollywood. Malahan media surat khabar juga merupakan salah satu medium Zionis untuk menyebarkan pengaruhnya.

19. Zionis juga yang menyebarkan idea Islam Liberal iaitu idea kuzman, moderat,
fundamental,konservatif dan liberal. Agenda Islam Liberal sangat berjaya di Indonesia. Agenda Islam Liberal telah menguasai pendidikan Islam di Indonesia atas nama kebebasan pluralisme.

MERUNGKAI RAHSIA ZIONIS

1. Zionis adalah gerakan yang dipelopori oleh Moses Hess pada abad ke-19 dan diperkuatkan lagi oleh Theoder Herzl’s. Zionis merupakan gerakan politik orang Yahudi yang menyokong penubuhan semula ‘tanah yang dijanjikan’ untuk bangsa Yahudi di Palestin. Theoder Herzl’s seorang Yahudi berbangsa Hungary telah mengumpulkan orang Israel dari seluruh pelusuk dunia membawa idea penubuhan Israel raya.

2. Pada 1895,orang-orang Yahudi mengadakan kongres yang pertama di Kota Bale Switzerland,dihadiri oleh anggotanya sekitar 300 orang yang mewakili 50 organisasi Zionis yang bertebaran di seluruh dunia. Pertemuan itu terus berlangsung dari semasa ke semasa. Tujuannya adalah untuk menganalisa strategi mereka yang akan dilancarkan demi mencapai maksud. Dengan itu tertubuhnya Zionis International.

3. Zionis Israel adalah negara yang paling banyak melanggar Resolusi-resolusi Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu iaitu lebih daripada 80 Resolusi sejak penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1945.

4. Mereka telah menerima hmpir 1/3 daripada Bajet Tahunan Bantuan Luar Amerika Syarikat yakni dari segi bantuan kewangan,senjata nuklear dan lain-lain.

5. Mereka telah menubuhkan negara haram Israel sejak pencerobohan pada tahun 1948 bermakna telah 60 tahun menjajah bumi suci para ambiya’ dengan memasukkan bangsa Yahudi melalui beberapa perjanjian yang dicapai seperti Perjanjian Oslo 1 (1992),Perjanjian Oslo 2 (1995) dan banyak lagi dengan itu setiap kali perjanjian diadakan kemasukan Yahudi turut bertambah

6. Rejim Zionis Israel mempunyai simpanan senjata nuclear dan tidak membenarkan sebarang pemeriksaan antarabangsa terhadap fasiliti nuklearnya. Mereka juga tidak menandatangani Nuclear Non-Prolification Treaty,satu perjanjian di mana sebuah negar itu tidak akan membina senjata nuclear.

7. Mereka tidak membenarkan rakyat Palestin berpindah Palestin berpindah dari satu kota ke satu kota yang lain kecuali dengan selepad mendapat ‘visa’ dari rejim Zionis Israel.

8. Semasa pemerintahan Ariel Sharon telah melakukan pembunuhan beramai-ramai secara kejam ke atas lebih daripada 2,750 bangsa Palestin di khemah-khemah pelarian Sabra dan Shatila pada tahun 1982. PBB telah mengklasifikasikan sebagai GENOCIDE iatu PEMBUNUHAN SELURUH KAUM/BANGSA.

9. Terkini,antara 27 Disember 2008 hingga 18 Januari 2009 sekali lagi telah melancarkan jenayah perang ke atas Gaza justeru,selepas sahaja diumumkan genjatan senjata oleh HAMAS pada 18 Disember 2008 yang menggunakan senjata tercanggih dunia termasuk penggunaan bom fosforus yang menyebabkan lebih 1,300 nyawa terkorban dan lebih 5,000 tercedera.
Related Posts with Thumbnails