.: PENGENALAN:.

Ikatan Mahasiswa Madani atau lebih dikenali sebagai IMAM dikalangan masyarakat kampus merupakan satu-satunya organisasi yang berdaftar dibawah unit agama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) di UiTM Perlis. IMAM bergiat aktif dalam memberi kefahaman dan penghayatan kepada mahasiswa dan juga masyarakat kampus. Keikhlasan setiap mahasiswa/siswi yang menyertai IMAM merupakan asset utama persatuan ini dalam usaha mewujudkan sebuah masyarakat berilmu dan beramal berlandaskan syariat.

Tuesday, April 7, 2009

TAZKIRAH RINGKAS


Sahabat-sahabat, ketika ini ‘irama’ ngeri muzika di Palestin masih bergendang di cuping telinga kita. Hati-hati yang dipenuhi rasa kasih sesama saudara seIslam bagaikan menjerit dan memberontak ingin melahirkan rasa simpati masing-masing apabila melihat kesengsaraan rakyat di sana. Namun, entah di mana silapnya, rakan-rakan kita di sini seolah-olah mengabaikan CINTA yang difitrahkan kepada kita. Ketika anak-anak kecil dan remaja Palestina mengambil risiko menentang tentera Israel tanpa senjata, muda-mudi di Malaysia sibuk ‘mengorban’kan diri kepada pasangan kekasihnya. Dilaporkan, berpuluh-puluh pasangan ditangkap di hotel-hotel murah malam 14 Februari lalu.

Cinta yang disandarkan dengan nama fitrah bukanlah tiket yang dikurniakan Allah untuk menghalalkan segala perilaku-perilaku yang kononnya perlu ada bagi pasangan kekasih. Fitrah ini telah Allah lengkapkan dengan peraturan-peraturan agar manusia atau lebih jelas lagi, hamba Allah yang serba hina ini tidak membuat percaturan yang silap. Rasa cinta dan kasih itu tidak salah jika ia dipandu syariat, yakni tidak disusuli dengan perkara-perkara maksiat serta yang boleh mengundang maksiat. Kerana cinta itu adalah hadiah daripada Sang Pencipta kita. Janganlah kita menjadi seperti Si Tenggang yang lupa diri..Cinta itu hadiah yang perlu disyukuri, bukan disalahgunakan.

Dengan anugerah cinta yang sedikit itulah seorang ibu sanggup berkorban untuk anaknya, seorang anak mampu taat kepada ibu bapanya dan dengan cinta yang hanya sekelumit daripada CINTA besar milik Allah itulah pasangan suami isteri merasa bahagia melayari rumahtangga kehidupan. Lantas, Pencipta dan Pemberi hadiah itulah yang wajar kita puji, sanjung dan CINTAI melebihi hadiah itu. Marilah sama-sama kita MENCARI CINTA Sang Pencipta CINTA kerana hanya dengan itu sahajalah hidup kita di dunia ini tidak sia-sia dan pasti bahagia di negeri yang kekal abadi kelak.. Wallahu’alam..

No comments:

Related Posts with Thumbnails